Sunday, 4 March 2012 | By: Amandine Ronny Montegerai

Surat Buat Polaris (Malaysia Language)





“Sahabatku Polaris, aku kesunyian. Sekiranya kamu ada di sisi, aku ingin menangis sepuas-puasnya di bahumu.”
Kata-kata itu ditulis di atas sekeping kertas lalu dilipat. Kemudian, surat itu dimasukkan ke dalam sampul. Hanya nama penerima ditulis di depan sampul surat itu. Akhirnya, surat itu dimasukkan ke dalam peti surat di halaman rumahnya.


Begitulah kelakuan Mika sejak beberapa tahun yang lalu. Penjaga Mika, Pevka sangat memahami kelakuan anak tunggal kepada majikannya itu. Dia sedih melihat keadaan Mika yang dipinggirkan oleh ibu bapanya. Hanya pada Polaris, kawan khayalannya tempat dia meluahkan perasaan.

Sebelum tidur, Mika akan melihat bintang-bintang yang bertaburan di dada langit dari jendela bilik tidurnya. “Polaris, adakah kamu menerima surat saya?” tanya Mika sambil memandang langit. Dia ternampak sebutir bintang berkelip-kelip. Mika tersenyum gembira. “Oh, kamu sudah terima surat itu! Baguslah. Selamat malam, Polaris,” kata Mika seolah-olah ‘sahabatnya’ itu mendengar.

Lama-kelamaan ibu Mika, Puan Ellen menyedari tingkah laku anaknya yang aneh itu. Dia memeriksa bilik tidur Mika dan menemui beberapa pucuk surat tanpa setem dan alamat di dalam laci anaknya. “Polaris...,” Puan Ellen membaca nama yang tertulis di hadapan salah satu sampul surat. Akhirnya, Pevka menceritakan perkara yang sebenarnya kepada Puan Ellen...

Sebaik Mika pulang dari sekolah, Puan Ellen memanggil Mika. “Mika, ibu mahu bertanya sesuatu. Duduk!” arah Puan Ellen. Mika akur lalu duduk di hadapan ibunya. “Surat-surat ini untuk siapa?” tanya Puan Ellen lalu mencampakkan surat-surat tersebut di atas meja. Mika terkejut.

“Surat... err... itu untuk... Polaris!” kata Mika tergagap-gagap. “Polaris kawan khayalan kamu? Adakah kamu sedar Polaris itu hanya rekaan kamu sahaja?” bentak Puan Ellen sambil mencekak pinggang. “ Tidak, Polaris kawan saya. Dia memang wujud! Percayalah ibu,” rayu Mika. Air matanya mula merembes.
Puan Ellen bertindak membakar surat-surat itu. Mika cuba menghalang tetapi apalah dayanya. Dia berasa sangat sedih. Puan Ellen bercadang menghantar Mika ke sekolah berasrama penuh. Dia berharap dengan cara ini Mika akan berubah. Mika pula terpaksa akur dengan keputusan ibunya itu.

Malam itu, Mika meluahkan perasaannya kepada Polaris. “Polaris, tidak lama lagi aku akan dimasukkan ke asrama. Maafkan aku kerana tidak dapat menulis surat kepadamu lagi. Alangkah bahagianya jika kita dapat sama-sama belajar di sana?” kata Mika sambil menangis tersedu-sedu. Akhirnya, dia terlena.

Beberapa hari kemudian, Puan Ellen pun mendaftarkan Mika ke sekolah berasrama penuh. Kebetulan, terdapat seorang budak lain yang turut mendaftar memasuki sekolah tersebut. Mika duduk di bangku sementara menunggu ibunya menguruskan hal kemasukan. Budak perempuan itu berkata sesuatu kepada ibunya lalu menghampiri Mika.

Budak perempuan itu menghulurkan tangan. Mika tersenyum lalu menyambut salam perkenalan itu. Dia pun memperkenalkan diri, “ Hai, nama saya Mi...” “Mika Henderson, bukan? “ Mika terkejut apabila budak itu tahu akan namanya. “ Kamu tidak kenal saya, Mika?” tanya dia lagi. Mika cuba mengingati sesuatu tetapi gagal. “ Mika, saya Polaris!Anne Polaris!” katanya sambil memegang tangan Mika. Mika ternganga.

“Polaris? Tak mungkin! Kata Mika tidak percaya. Dia yakin budak itu hanya bergurau. “Bukankah kamu juga berharap agar saya bersekolah di sini? Kamu sudah lupa?” tanya budak itu lagi. “Err... tetapi olaris yang saya tahu...”Mika tidak dapat meneruskan kata-katanya. Budak itu mengeluarkan sesuatu dari poketnya lalu diberikan kepada Mika. Kali ini Mika benar-benar terkejut!

“Ibu!” jerit Mika sambil membawa budak itu mendapatkan ibunya. Ibunya tersenyum melihat anaknya sudah mendapat kawan baharu. “Apa khabar, mak cik? Nama saya Anne Polaris,” kata Polaris memperkenalkan diri. Puan Ellen tersentak apabila mendengar nama budak itu. Kemudian, Mika menghulurkan sesuatu kepada ibunya. Puan Ellen semakin pelik.

“Bukankah surat-surat ini ibu sudah bakar?” tanya Puan Ellen kehairanan. “Surat ini milik saya, mak cik. Mika yang menghantarkannya kepada saya.” Jawapan Polaris sungguh mengejutkan Puan Ellen. Dia memandang Mika untuk mendapatkan kepastian. Mika hanya tersenyum. Hatinya berbunga riang kerana Polaris, sahabatnya kini berada di sisi....

Sumber : Siri Misteri Popular, H.I. Hussain